Saturday, June 13, 2009

mbc dlm B.Harian 14 jun09


helloooo.

Ini kali kedua MBC masuk BH.

48 Jam: Kembara bikers
Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my





Jelajah Malaysia terokai warna kehidupan, erti kesabaran

KEMBARA jarak jauh bagai menjadi kegiatan lumrah kumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi. Aktiviti ini sering dilakukan bagi mengisi hujung minggu atau waktu cuti bagi menghilangkan tekanan.

Ekspedisi jarak jauh menjanjikan pengalaman pahit dan manis - daripada merancang aktiviti hinggalah rintangan yang terpaksa ditempuh sepanjang perjalanan merentas daerah dan negeri.



Susulan kejayaan program jelajah negeri utara Semenanjung Malaysia akhir tahun lalu, kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi, MBC yang berpusat di Melor, dekat Ketereh, Kelantan, sepakat menguji ketahanan diri dalam ekspedisi Jelajah Malaysia, baru-baru ini.

Biarpun pada mulanya mensasarkan 20 peserta, akhirnya sekumpulan enam penunggang tegar (hardcore bikers) menyahut cabaran menjelajah enam negeri sepanjang kembara itu.

Selain penulis yang menunggang motosikal jenis Honda Shadow VLX600, ekspedisi itu disertai Presiden MBC, Mohd Ramzi Zakaria dan isteri, Nor Haliza Ismail yang menunggang Kawasaki GTR1400; Azhar Ahmad dan isteri, Wan Nurizan Zakaria (Kawasaki VN900); Mohamad Narudin Mat (Kawasaki VN800), Wan Rushdan Wan Abdullah (Naza Blade250R); Wan Abdul Halim Wan Abdullah (Honda CBR919RR).


PESERTA kembara bergambar kenangan di hadapan Menara Taming Sari, Melaka.



Seorang lagi ahli MBC, Mohd Nasri Zakaria yang membantu menaja sebahagian kos kembara kali ini, turut membawa ahli keluarga mengekori konvoi dengan memandu kenderaan MPV, Toyota Alphard.

Ikuti pengalaman penulis bersama rakan-rakan MBC sepanjang perjalanan sejauh 1,500 kilometer (km) termasuk insiden kemalangan sesama sendiri pada kembara ini...

Jumaat

9.45 pagi : Sebaik berkumpul dan berbincang agenda kembara, kami bertolak ke Kuala Terengganu dengan Narudin (Cikgu Din) dan Wan Rushdan (Che Wan) yang bertindak sebagai Marshall mengetuai perjalanan.




Seorang ahli MBC yang tidak menyertai kembara, Edi menunggang Honda CB400 sambil mengekori konvoi hingga ke Jertih, sebelum beliau berpatah balik.

Walaupun pada mulanya kami merancang mengikut laluan pantai Kuala Besut - Penarik menuju Kuala Terengganu, namun selepas melihat kelancaran trafik pagi itu membuatkan penulis meminta Cikgu Din dan Che Wan menukar haluan melalui Permaisuri dan Sungai Tong.

11.15 pagi : Kecekapan Che Wan dan Cikgu Din mengawal trafik dengan kebanyakan pemandu memberi laluan kepada pergerakan konvoi, membolehkan kami tiba di Dataran Batu Burok dekat Kuala Terengganu dalam masa dirancang.

Kami singgah mengisi perut di medan selera. Ketika rakan-rakan sekadar memesan ikan celup tepung dan keropok lekor sebagai pengalas perut, penulis memilih hidangan nasi ayam Hainan yang cukup terkenal di premis ini.

1.15 petang : Kami meneruskan perjalanan. Sebaik melepasi Sungai Paka, penulis memintas kedudukan Che Wan sebelum memberi isyarat supaya mengekori penulis untuk singgah minum di rumah keluarga dekat Kampung Cacar Baru, kira-kira lima kilometer dari sini.

1.30 petang : Selepas membasahkan tekak, kami meneruskan perjalanan. Namun, sebaik menghampiri Kerteh, tiba-tiba hujan. Apabila makin lebat, Cikgu Din memberi isyarat singgah di deretan kedai di pekan itu. Menyangka beliau mahu memakai baju hujan, penulis tanpa teragak-agak berhenti di bawah warung goreng pisang yang ditutup. Penulis mengeluarkan baju hujan dalam beg sisi motosikal dan segera memakainya sebelum meneruskan perjalanan.

Ketika di jalan, barulah penulis perasan rakan kembara hanya berhenti untuk membungkus dompet dan telefon bimbit bagi mengelak basah - ini bermakna hanya penulis saja memakai baju hujan.

Selepas kira-kira 10 minit menunggang, hujan lebat berhenti dan keadaan bertukar panas terik. Ini menyebabkan penulis terpaksa menahan kepanasan ibarat berada dalam sauna apabila meneruskan tunggangan dengan memakai baju hujan.

3 petang : Ketika menghampiri sebuah stesen minyak berhampiran simpang Pelabuhan Kuantan, Halim memberi isyarat beliau perlu mengisi minyak. Ketika Halim membelok ke stesen itu, kami berhenti menunggu sambil memikirkan lokasi makan tengah hari.

Ketika itu, Azhar teringat salah seorang saudaranya mengusahakan restoran di kawasan berhampiran, lantas bergegas bertanyakan nama pemilik restoran tidak jauh dari situ. Nyata gerak hatinya tepat, restoran yang disinggahi milik saudaranya. Kami semua akhirnya menikmati nasi goreng kampung denga jus oren segar di Restoran Sri Selindung Bayu.

4 petang : Kami meneruskan perjalanan ke Segamat melalui Jalan Semambu. Langit makin gelap membuatkan Che Wan memberhentikan motosikal di stesen minyak untuk memakai baju hujan. Kali ini, tiada lagi kompromi, hujan lebat disusuli angin kencang sebaik selesai berpakaian lengkap. Kami terpaksa memperlahankan motosikal apabila hujan makin lebat hingga sukar melihat laluan dari Permatang Badak hingga ke Gambang.

5.30 petang : Penulis bersama Halim dan Cikgu Din sampai di hentian rehat Muazzam Shah. Kami sudah ketinggalan berbanding kumpulan Che Wan, Ramzi dan Azhar. Namun, ketika itu, baru kami sedar Nasri tidak mengekori di belakang. Ketika dihubungi, Nasri memberitahu beliau terpaksa memasuki bandar Kuantan untuk mencari klinik. Ini kerana salah seorang anak saudaranya muntah sepanjang perjalanan akibat tidak tahan mabuk. Beliau meminta kami meneruskan perjalanan dengan janji bertemu di Melaka.

6.30 petang : Selepas menempuhi rintangan, penulis bersama Halim dan Cikgu Din tiba di sempadan Johor dan Pahang di Segamat. Kami berhenti seketika di papan tanda sempadan untuk bergambar kenangan. Kami menghubungi Ramzi yang memberitahu beliau bersama dua lagi rakan menunggu di sebuah gerai tidak jauh dari situ.

Kami bergegas mendapatkan mereka sebelum bergabung semula dalam satu kumpulan menuju ke Masjid Jamek Segamat untuk berehat dan menunaikan solat jamak.

8.15 malam : Kami meneruskan perjalanan ke Melaka. Ketika melalui kawasan Gunung Ledang, penulis bernasib malang apabila seekor kelawar merempuh muka penulis yang leka ‘melayan’ selekoh dalam kegelapan. Nasib baik, topi keledar penulis dilengkap visor, jika tidak kelawar itu pasti melekap di muka.

Dek kesuntukan masa, kami membatalkan cadangan singgah di bandar Muar, sebaliknya membuat keputusan meneruskan perjalanan ke Melaka sebaik tiba di persimpangan Parit Bunga. Kali ini, penulis merancang membawa rakan-rakan menikmati ikan bakar di Umbai, Melaka.

9 malam : Ketika menghampiri persimpangan Pernu, penulis memberi isyarat membelok kiri menuju Umbai. Namun kesilapan komunikasi dengan lampu isyarat belakang motosikal yang rosak menyebabkan rakan-rakan tidak menyedari penulis membelok menuju ke Umbai dan berhenti di hadapan.

Ketika itu, Che Wan sudah berhenti di tengah persimpangan lampu isyarat untuk membuat clearance manakala Halim pula terlajak ke depan. Sangkaan semua rakan sudah membelok ke kiri, mendorong Che Wan bergerak ke kiri.

Malangnya, ketika itu, Azhar tiba di persimpangan tanpa sempat mengelak, merempuh bahagian tepi motosikal Che Wan. Insiden ini menyebabkan motosikal masing-masing terbalik di tengah persimpangan itu.

Akibatnya, VN900 Azhar rosak pada besi pelindung enjin manakala kotak sisi Blade Che Wan pula bengkok. Kami yang berhenti tidak jauh dari situ, berlari mendapatkan mereka untuk mengangkat dua motosikal terbabit. Sebaik mendapati tiada kerosakan serius, kami meneruskan perjalanan untuk menikmati makan malam.

9.30 malam : Kami tiba di Medan Selera Umbai. Melihat banyaknya gerai ikan bakar, kami ‘pening’ memilih gerai mana yang hendak dilanggani. Terpujuk dengan ajakan pekerja gerai yang mahu kami singgah di gerainya di hujung medan selera, kami akhirnya mengambil tempat duduk dan mengalihkan kedudukan meja dengan tempat letak motosikal.

Penulis memilih dua ekor pari dibakar dengan sambal, dua cencaru bakar, sekilogram sotong goreng tepung, dua kilogram kupang dimasak sambal serta nasi lemak bungkus.

10.30 malam : Selepas kekenyangan, kami bergerak ke lokasi penginapan di Pantai Klebang dan berehat sambil bercerita keseronokan ditempuhi sepanjang perjalanan.

Sabtu

9.30 pagi : Kami meninggalkan penginapan menuju ke Banda Hilir menggunakan laluan pantai. Sepanjang laluan, jelas kelihatan pelbagai projek menambak laut sedang dijalankan. Nyata, setiap inci tanah di negeri Hang Tuah ini dimanfaatkan untuk pembangunan.

Matlamat kami ialah menaiki menara berputar, Menara Taming Sari yang menjadi lambang kemegahan Melaka. Malangnya setibanya di lokasi tarikan itu, menara terbabit ditutup untuk tujuan penyelenggaraan. Untuk mengubati kekecewaan, kami mengeluarkan kain rentang dan bergambar di depan menara itu.

10 pagi : Kami beralih ke satu lagi tarikan pelancong di Melaka iaitu Kota A Famosa. Sebaik meletak motosikal berhampiran kota peninggalan penjajah Portugis itu, deretan enam motosikal kami menjadi perhatian pelancong asing dan tempatan. Selain beca berwarna warni, motosikal kami turut menjadi ‘props’ mereka merakamkan kenangan di Melaka.

11.15 pagi : Kami meninggalkan Kota A Famosa dan menuju ke persimpangan Lebuh Raya Utara Selatan dekat Ayer Keroh. Kami singgah sebentar di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh untuk membasahkan tekak.

12.15 tengah hari : Kami bertolak ke Kuala Lumpur dan berjanji dengan Nasri untuk bertemu di Kem Sungai Besi. Sebaik memasuki lebuh raya, apa lagi masing-masing dengan gaya tunggangan tersendiri. Mereka menunggang superbike ada kalanya pantas memecut hingga kelajuan mencapai 200 km/j, manakala penunggang motosikal jenis easyrider seperti penulis sekadar mampu pada kelajuan 150km/j.

1.15 petang : Kami tiba di tol Sungai Besi dalam kesesakan kesesakan lebuh raya sempena musim cuti sekolah. Salah faham mengenai lokasi persinggahan seterusnya menyebabkan penulis bersama rakan-rakan penunggang lain tersasar ke Desa Water Park, sedangkan kami sepatutnya menuju ke Kem Sungai Besi.

1.45 petang : Dalam kesukaran mencari laluan itu, kami akhirnya tiba juga di Kem Sungai Besi untuk menikmati makan tengah hari yang disediakan anak dan menantu Abang Zain, yang awal-awal lagi mengajak kami singgah di rumah mereka.

2.45 petang : Kami meninggalkan Kem Sungai Besi menuju ke persimpangan tol Jalan Duta. Lokasi seterusnya ialah Cameron Highlands. Dua rakan kami iaitu Kamal dan Hatta berkejar dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur semata-mata mahu menyertai kembara kami meminta bertemu saja di Cameron Highlands.

3.30 petang : Kami meninggalkan persimpangan tol Jalan Duta. Sebaik memasuki lebuh raya, masing-masing memecut. Kami singgah berehat seketika melepas lelah sambil menikmati ais krim di hentian sebelah Tanjung Malim.

6 petang : Kami tiba di persimpangan tol Tapah. Kami berharap sampai awal di Tapah kerana bimbang mengambil laluan berselekoh pada waktu malam. Laluan dari Tapah menuju ke Cameron Highlands menjadi kegemaran penunggang motosikal yang gemar beraksi mengambil selekoh tajam. Namun, ini boleh mengundang bahaya jika tersalah perhitungan.

Memikirkan pengalaman seorang ahli MBC yang pernah ditimpa kemalangan akibat tersalah perhitungan ketika mengambil selekoh di Sik pada program Jelajah Utara akhir tahun lalu, kami lebih berhati-hati kali ini.

6.30 petang : Dalam perjalanan menuju ke Brinchang, kami meninjau gerai jualan milik penduduk Orang Asli di tepi laluan berselekoh. Sekadar bergambar dan meninjau barang jualan mereka, kami tidak boleh membeli apa-apa kerana sukar membawanya pulang.

Kami sempat singgah di Lata Iskandar dan merakam gambar. Kami juga berhenti di ladang teh yang menjadi tarikan pelancong di Cameron Highlands.

8.00 melam : Kami akhirnya tiba di pekan Brinchang dan bergegas ke lokasi penginapan iaitu Star Regency Hotel. Tempahan penginapan musim cuti sekolah ini memang sukar diperoleh dan mahal. Cuaca sejuk jelas terasa pada waktu malam di kawasan tanah tinggi ini.

Sebelum memasuki apartment yang ditempah, penulis sempat membeli cendawan goreng sebagai pengalas perut yang makin lapar. Dalam kesejukan malam, perut mudah terasa lapar.

8.30 malam : Hatta dan Kamal yang menunggang Honda CB500 tiba di penginapan. Mereka naik ke Cameron Highlands menerusi laluan Simpang Pulai - Kampung Raja kerana bimbang untuk mengambil laluan berselekoh yang agak merbahaya pada waktu malam di antara Tapah hingga Tanah Rata.

Hatta yang baru membeli sebuah motosikal CBR600F2 sanggup bergegas ke Kuala Lumpur dan ‘mengejar’ hingga ke Cameron Highlands semata-mata untuk menyertai kami.

9 malam : Kami meninjau pasar malam Brinchang yang terletak bersebelahan hotel penginapan untuk membeli makanan. Ramai orang berkunjung ke pasar malam itu kerana musim cuti sekolah.

10 malam : Selesai menikmati makan malam, kami berbual mengenai perjalanan yang ditempuh sambil berkongsi pengalaman. Esok pasti lebih mengujakan kerana kami akan meneroka Cameron Highlands dan pulang menggunakan laluan Lojing-Gua Musang.

Kejayaan program Jelajah Malaysia ini bermakna MBC sudah mengembara ke seluruh pelusuk tanah air. Penulis dan rakan-rakan merancang menunggang motosikal ke ke Indo-China, tahun depan. Sama ada motosikal berkuasa tinggi atau kapcai, ia pasti mencabar dan menyeronokkan.